Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan kenaikan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Katanya, inui kerana Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjangkakan perkara tersebut akan berlaku pada bulan lalu.

“Kami menjangkakan varian Omicron akan jadi dominan di negara ini seperti negara-negara lain.

“Apabila ini berlalu, kes positif Covid-19 akan meningkat. Itulah sebabnya kita mempercepatkan program booster vaksin.

“Kerajaan kini sedang melihat trend kenaikan, bagaimanapun rakyat tidak perlu panik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam KKM memaklumkan kes positif Covid-19 meningkat sebanyak 34.6 peratus bagi minggu keempat, tahun ini.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kadar kes kematian didapati menurun 27.5 peratus.

Dalam pada itu, Khairy berkata, program vaksinasi dewasa, remaja dan kanak-kanak yang akan dilaksanakan tidak lama lagi telah menunjukkan hasil yang baik terhadap kes Covid-19.

“Penggunakan kapasiti katil kekal terkawal dan kerajaan telah bersedia untuk menghadapi lonjakan kes,” katanya. – MalaysiaGazette