Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Lima pemain baharu dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada 14 hingga 26 Februari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan, tiga daripadanya merupakan pemain dalam senarai simpanan iaitu Muhammad Firdaus Kaironnisam dan Muhammad Najmuddin Akmal Kamal Akmal dari Johor Darul Ta’zim (JDT) III, dan K. Thivandaran dari Penang FC.

Dua lagi pemain yang turut tersenarai ke kem latihan itu adalah A.Selvan dan N.Javabilaarivin dari Negeri Sembilan FC.

Menurut FAM, Muhammad Firdaus, Muhammad Najmudin dan Thivadaran telah memulakan latihan bersama skuad B-23 kebangsaan pada 27 dan 28 Januari lepas, manakala Selvan serta Javabilaarivin menyertai pasukan bermula hari ini.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari dan akan menentang Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Prince pada 15 Februari, sebelum berdepan dengan Laos pada 18 Februari di venue sama dan bertemu Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.

Tiga juara kumpulan dan pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir pada 24 Februari manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 26 Februari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast