Tangkap layar menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengesahkan dendam lama serta berebut pelanggan punca pergaduhan membabitkan dua peniaga di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama di sini, pada Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan mengenai insiden terbabit daripada lelaki berusia 36 tahun yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.

Saravanan.

Jelas beliau, pergaduhan itu membabitkan perselisihan faham antara pengadu, dua adiknya serta tiga sepupu mereka.

“Dalam pergaduhan itu, kedua-dua pihak menggunakan kerusi dan kayu sebagai senjata dan kesemua lelaki terbabit mengalami kecederaan ringan iaitu luka ringan dan calar di bahagian badan.

“Hasil siasatan polis mendapati punca pergaduhan disebabkan berebut pelanggan dan dendam lama antara kedua-dua belah pihak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Saravanan, kesemua mereka yang terlibat sudah tampil menyerah diri di IPD Timur Laut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh menggunakan senjata.

“Sehubungan itu, orang ramai yang berada di tempat kejadian diminta tampil atau menghubungi IPD Timur Laut bagi membantu siasatan.

“Polis juga berharap orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyebarkan rakaman video di mana-mana medium media sosial,” tegas beliau.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi selama 1 minit 12 saat memaparkan berlaku pergaduhan antara peniaga pasembor di kompleks makanan itu ketika pelanggan sedang menjamu selera. – MalaysiaGazette