Datuk Dr Zaini Md Taha yang mewakili syarikat Lesong Food Industries Sdn. Bhd. diarahkan membayar denda RM30,000.

MELAKA – Prosiding kes pertuduhan membekalkan minyak masak secara berlebihan di Mahkamah Sesyen di sini bertukar kecoh apabila Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit tidak berpuas hati didenda RM30,000.

Datuk Dr Zaini Md Taha yang mewakili syarikat Lesong Food Industries Sdn. Bhd. diarahkan membayar denda tersebut oleh Hakim, Nariman Badruddin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membekal keperluan berjadual itu secara berlebihan kepada peruncit

Dalam rayuannya Zaini yang tidak diwakili peguam berulang-kali menjelaskan minyak masak yang dibekalkannya bukan bersubsidi selain mengaitkan peruncit lain dalam kes itu.

Hakim bagaimanapun memintanya berhenti daripada meneruskan pertikaian bagi kesalahan tersebut yang dilakukan pukul 3.30 petang di Melaka Halal Hub, Serkam Fasa 2, dalam daerah Jasin pada 4 Oktober 2021.

Mengikut pertuduhan, syarikat Lesong Food Industries Sdn Bhd didapati telah menjual minyak masak melebihi had kuantiti dalam lesen runcit Syarikat Era Prestij Resources.

Sabit kesalahan syarikat berkenaan boleh didenda sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya denda tidak melebihi RM5 juta mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama.

Zaini dalam rayuannya memberitahu minyak masak yang dibeli adalah melalui pasaran terbuka (open market) dan membekalkan dengan jumlah terbabit kerana syarikat berkenaan mempunyai beberapa buah premis.

Dia turut memohon denda kurang daripada RM15,000 kerana telah memberikan kerjasama dan mengaku bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Syazwani Zawawi bagaimanapun mencadangkan denda minimum RM100,000 dikenakan memandangkan perniagaan terbabit berskala besar.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 atau enam bulan penjara, jika gagal membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette