Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan gangguan seksual yang dikaitkan dengan, Ebit Lew kini berada di peringkat akhir siasatan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (ACG) pada akhir tahun lepas.

“Bagaimanapun, AGC telah mengembalikan semula kertas siasatan itu kepada kami (JSJ) kerana memerlukan sedikit penambahbaikan dalam input siasatan.

“Kita akan segera menyelesaikan kertas siasatan berkenaan dengan penambahbaikan yang dikehendaki oleh Peguam Negara dan akan diserahkan semula kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes yang mambabitkan pendakwah tersebut.

Siasatan terhadap Ebit Lew, 37, dilakukan laporan polis dilakukan beberapa individu yang mendakwa menerima gangguan seksual daripada pendakwah itu.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Ogos lalu, Ebit Lew muncul bersama isterinya ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman berhubung penyebaran video gangguan seksual yang mengaitkannya.

Bagaimanapun, Ebit Lew menafikan dakwaan itu kepada dan menyifatkannya sebagai fitnah yang cuba menjatuhkan imejnya. – MalaysiaGazette