KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) dengan nada menyindir bertanyakan Pas, selepas berpisah dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN), parti itu berjuang atas semangat apa pula.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pada awal penubuhan MN pada September 2019, masing-masing mengalir air mata kerana terharu atas gabungan dua parti Melayu yang sekian lama bermusuh itu.
“Air mata bersama UMNO tubuh MN atas semangat selamatkan Melayu Islam dari ancaman kapir (kafir) DAP.
“Sekarang berpisah dan kuburkan MN atas semangat apa pula ayoh cik. oh! semangat nak kerusi lebih… he… he… donia… donia,” sindir Mahfuz menerusi ciapan Twitternya.
Ciapan itu respon kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan memberi amaran terhadap anggota parti itu ‘yang digoda’ dan melanggar sumpah taat setia (baiah) mereka terhadap Pas.
Tegas beliau, parti itu tidak akan bersama UMNO melalui pendekatan Barisan Nasional (BN) ‘yang telah bocor bahteranya kerana Pas tidak mahu tenggelam bersama’ gabungan itu.
“Walaupun terdapat segelintir ahli Pas yang digoda supaya mengubah ‘road map’ dan hala tuju Pas, namun yang tergoda itu akan kembali ke pangkal jalannya.
“Atau terpelanting jatuh disambar jerung atau tenggelam dalam gelombangnya seperti mana mereka yang pernah melakukannya dahulu,” kata Presiden Pas. – MalaysiaGazette