Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini berada di fasa akhir penelitian Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya masih meneliti SOP PRN Johor dari segi penilaian risiko memandangkan pilihan raya itu akan dilaksanakan dalam persekitaran berbeza berbanding PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini susulan penularan varian Omicron dalam negara.

“Apa yang kita tahu adalah SOP bagi PRN Melaka berjaya, tiada kenaikan ketara pada angka kes, dan begitu juga dengan SOP bagi PRN Sarawak.

“Tetapi SOP PRN Johor lain sedikit kerana kini kita ada penularan wabak varian Omicron,” katanya pada sidang media pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata adalah tidak mustahil untuk angka kes COVID-19 naik ekoran PRN Johor tidak lama lagi.

“Dengan adanya Omicron, untuk mengatakan tidak akan ada peningkatan ketara pada jumlah kes, saya tidak boleh jamin. Tapi apa yang kita lihat di Johor ini, keseriusan kes dan kemasukan ke hospital tidak akan meningkat dengan mendadak tetapi akan ada kenaikan kes,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai SOP bagi ibadah umrah yang kembali dibenarkan bermula 8 Feb ini, beliau berkata prosedur itu kini sedang dimuktamadkan dan akan dibentang dalam masa terdekat.

“SOP bagi umrah, Pengarah Kawalan Penyakit KKM Datuk Dr Norhayati (Rusli) sedang muktamadkan, hari ini atau esok beliau akan bentangkan kepada saya,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan umat Islam di negara ini boleh kembali mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Feb ini selepas ditangguhkan sementara pada 8 Jan lepas berikutan peningkatan varian Omicron COVID-19 dalam kalangan jemaah.

— BERNAMA