Idris ahmad
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad beramah mesra dengan para hadirin Majlis Perasmian Sambutan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Kompleks Islam Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 04 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak akan mencampuri urusan dan siasatan terhadap isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji (TH) yang kini dilakukan enam panel jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Idris Ahmad berkata, kerajaan memberi kebebasan kepada jawatankuasa itu untuk melakukan siasatan institusi umat Islam itu.

“RCI sekarang berjalan dengan baik dan kita memberikan kepercayaan penuh kepada enam orang jawatankuasa ini.

“Kita pun tidak campur tangan dalam urusan ini. Kita berikan kebebasan kepada mereka untuk buat yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita di Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Pada 19 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan untuk RCI ditubuhkan bagi menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi TH.

ARTIKEL BERKAITAN:

Baginda turut memperkenan pelantikan enam ahli RCI itu, diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif, sebagai Pengerusi.

Antara ahli RCI itu ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Turut dilantik ialah Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) selaku Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC), Prof Dr Asmadi Mohamed Naim dan Akauntan Bertauliah yang juga Timbalan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon. – MalaysiaGazette