Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berjalan keluar dari mahkamah selepas hadir bagi rayuan kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion di Mahkamah Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan kes rasuah projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang sedang dihadapi oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Sepatutnya hari ini saksi kedua pembelaan, bekas Pegawai Khas di di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod memberikan keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Bagaimanapun, menurut peguam bela mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu, Azrul Zulkifli Stork, saksi tidak dapat hadir kerana masih menjalani kuarantin wajib di rumah sekembali daripada mengerjakan umrah.

Jelas Azrul, jika mengikut jadual, Siti Azizah sepatutnya sudah pulang ke tanah air pada 27 Januari dan jalani kuarantin wajib tujuh hari namun atas sebab tertentu saksi terpaksa menunda penerbangan serta hanya pulang selepas dua hari kemudian.

“Ini sekaligus menyebabkan tempoh kuarantin hanya berakhir pada esok (5 Februari),” katanya kepada mahkamah.

Bagaimanapun dalam nada tegas, hakim kembali bertanya kepada peguam bela permohonan mereka sebelum ini.

“Seingat saya, anda Encik Azrul telah memberitahu mahkamah bahawa beliau (saksi) akan kembali ke Malaysia pada Januari 20. Itu juga mengapa saya kemudian menjadualkan prosiding pada hari ini.

“Malah saya juga telah juga beri masa dengan menangguhkan prosiding untuk beberapa hari tambahan lagi kerana mengambil kira tempoh kuarantin tetapi anda beritahu saya penerbangan beliau pada 28 Januari?” soalnya.

Ketua pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kemudian mencelah dan memberi pandangan berkemungkinan sebutan 20 haribulan dan 28 itu tidak begitu jelas sehingga menyebabkan mahkamah berpandangan saksi pulang pada 20 Januari lepas.

Hakim kemudian menerima pandangan dan penjelasan sebelum menetapkan 15 Februari ini menyambung prosiding sambil memberi peringatan semua pihak perlu memberi keutamaan pada kes ini walaupun terbeban dengan pelbagai kes serta isu lain.

Rosmah ketika ini sedang membela diri Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan. -MalaysiaGazette