Dr. Asmadi Abdul Rahman

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) terus membela nasib lapan golongan asnaf di negeri itu dengan agihan bantuan bernilai RM170.9 juta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, jumlah tersebut termasuklah kos bagi wang tunai dan barangan keperluan bermula Januari hingga pertengahan Disember tahun lalu.

Selain kos membaik pulih rumah, ia juga digunakan bagi membina rumah baharu serta penganjuran pelbagai program keagamaan di seluruh Pahang.

“Sebanyak RM67.1 juta diagihkan kepada asnaf fisabilallahi dan lebih RM76.4 juta kepada golongan fakir dan miskin.

“Individu yang dilantik sebagai amil turut menerima bantuan lebih RM16.3 juta, dan RM10.3 juta diagihkan kepada golongan fakir serta RM5.6 juta kepada mualaf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala sebanyak RM5.2 juta turut disediakan kepada golongan gharimin atau individu yang mempunyai hutang, bantuan untuk riqab pula sebanyak RM363,580 dan Ibnu Sabil berjumlah RM361,310.

Tambah Dr. Asmadi, penyaluran bantuan yang disediakan setiap tahun bergantung kepada jumlah bayaran zakat yang diterima oleh Pusat Kutipan Zakat Pahang.

“Jika banyak kutipan zakat, banyak peruntukan yang akan disalurkan kepada mereka memerlukan dan kita berharap lebih ramai lagi pembayar zakat tampil di negeri ini,” katanya

Jelasnya pihak MUIP akan sentiasa membantu golongan asnaf jika mendapat maklumat tepat dan sampai kepada peringkat pengurusan.

“Sebenarnya ada segelintir tidak mengetahui bantuan yang disediakan dan ada dalam kalangan mereka layak memohon sekiranya tergolong dalam lapan asnaf.

“Justeru MUIP mengharapkan kerjasama daripada masyarakat,ketua kampung dan penghulu untuk memberi maklumat mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.  – MalaysiaGazette