SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor tidak berniat mengganggu harga pasaran apabila memperkenalkan harga siling baharu bagi bekalan ayam segar dan telur ayam di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah diambil bagi mengelakkan harga sumber protein itu melambung ketika musim perayaan.

“Apa yang kita buat ini bukan nak kacau pasaran, dalam masa sama kita tahu bahawa ia boleh dikurangkan dan ia hanya untuk mereka yang betul-betul memerlukan.

“Harga ini bukan mengganggu pasaran, kita sedar isunya boleh dikurangkan sampai ke tahap itu dan kita menawarkan untuk mengurangkan beban tersebut,” katanya kepada pemberita di Wisma PKPS, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan harga siling ayam segar pada harga RM8 sekilogram di semua premis dan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Susulan bekalan telur ayam yang berkurangan di beberapa lokaliti di Selangor, beliau memberi jaminan akan berunding dengan pembekal sumber protein itu dalam masa terdekat.

“Kita akan cuba mencari pengeluar-pengeluar kilang PNSB anak syarikat kita, tanahnya telah disewa oleh pengeluar telur ayam terbesar di Semenanjung QL.

“Kita akan cuba berurusan dengan pihak pengeluar kilang untuk memastikan bekalan di pasaran Selangor mencukupi,” jelasnya.

Katanya, isu telur ayam di Selangor bukan soal bekalan sebaliknya saiz dan harga perlu diatasi sebaik mungkin bagi mengelakkan daripada melambung tinggi.

“Isunya kadang-kala bukan soal tiada tapi isu gred telur ayam, ada orang perlu gred A, gred B dan gred C, saya akan pastikan bekalan mencukupi.

“Harga Alhamdulillah tidak terlalu murah, tetapi tidak melambung tinggi sebagaimana contoh harga ayam.

“Sekarang harga telur kita buat pengurangan, harga semasa RM12.40 sekarang kita bagi harga RM11.70 di mana ada pengurangan daripada harga pasaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette