Warga emas berumur 57 tahun dan anak lelakinya berusia 25 tahun ditahan semalam kerana didakwa terlibat dengan penipuan tawaran pakej perkahwinan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Warga emas berumur 57 tahun dan anak lelakinya berusia 25 tahun ditahan semalam kerana didakwa terlibat dengan penipuan tawaran pakej perkahwinan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan di Lembah Klang.

“Turut dirampas beberapa dokumen dan telefon bimbit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan polis dibuat ekoran aduan wanita yang mendakwa rugi sebanyak RM7, 265 selepas ditipu oleh sebuah syarikat perunding perkahwinan.

Mangsa yang merupakan wanita berusia 24 tahun telah tempahan pakej perkahwinan dengan syarikat berkenaan sekitar Mei tahun lalu selepas dijanjikan tawaran istimewa seperti khidmat dewan, katering, pakaian pengantin serta jurugambar.

Namun kata Mohd Mahidisham, mangsa mendakwa perkhidmatan yang ditawarkan tidak seperti yang dijanjikan.

Ujar beliau, berdasarkan siasatan polis mengesyaki dua beranak berkenaan telah menipu ramai lagi mangsa.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula tarikh tangkapan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaa atas dakwaan menipu.- MalaysiaGazette