KUANTAN – Dua maut, seorang cedera manakala empat lagi selamat dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 36, Jalan Pekan/Nenasi/Rompin berhampiran Tanjung Batu di Pekan dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata nahas itu berlaku pada 12.30 tengah hari dan mangsa yang maut dikenali sebagai Chaw Jiun Shyan, 27, dan Zainong Abdullah, 56.
Chaw, pekerja kedai makan yang beralamat di Kota Tinggi, Johor maut di lokasi kejadian manakala Zainong dari Pasir Gudang, Johor disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Nenasi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga yang dipandu Chaw dari arah Rompin menghala ke Pekan terbabas semasa mengambil selekoh menyebabkan ia masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Myvi yang dipandu Zainong,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam insiden itu, kereta Proton Wira dinaiki empat sekeluarga yang berada di belakang Myvi tidak sempat berhenti dan melanggar belakang kereta tersebut.
Katanya pemandu dan penumpang Proton Wira tidak mengalami kecederaan manakala penumpang kereta yang dipandu Zainong iaitu Yusof Alias, 59, patah kedua-dua tangan serta paha.
Mohd Zaidi berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat selepas ujian saringan COVID-19 diperoleh dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA