Anggota JPJ terkorban selepas terbabit kemalangan ketika mengejar seorang penunggang motosikal yang melarikan diri dari sekatan jala raya ketika Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan Ops Motorsikal sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang menyaksikan kemalangan membabitkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Sri Gombak hari ini diminta tampil menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan anggota JPJ berkenaan meninggal dunia pada lebih kurang pukul 9.30 pagi selepas dilanggar sebuah kereta.

Katanya, sebelum itu, anggota JPJ berkenaan terbabas ke lorong kiri selepas gagal mengawal motosikal yang dinaiki ketika mengejar seorang lagi penunggang yang melarikan diri daripada operasi yang diadakan JPJ di Plaza Tol Gombak.

“Kemalangan ini berlaku semasa penunggang motosikal (anggota JPJ) sedang mengejar seorang penunggang motosikal yang telah melarikan diri daripada sekatan jalan raya JPJ di lorong motosikal Plaza Tol Gombak.

“Kejar megejar berlaku dalam keadaan melawan arus di lorong kecemasan dari arah Tol Gombak menghala ke arah Sri Gombak. Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal (anggota JPJ) dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kiri jalan sebelum dilanggar oleh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, saksi kejadian boleh menghubungi Penyiasat Trafik, Insp Mohd Shaifuddin Bin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Sebagai rekod, anggota JPJ yang mengejar suspek dalam Ops Motosikal pagi tadi terkorban kerana mengejar seorang suspek yang cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal secara lawan arus.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anggota JPJ maut ketika kejar suspek Ops Motosikal

1 Komen

Comments are closed.