Tomas Trucha (Gambar kredit Penang FC

KUALA NERUS – Ketua jurulatih Penang FC Tomas Trucha berharap untuk mendapatkan khidmat dua lagi pemain import sebelum saingan Liga Super membuka tirainya, Mac ini.

Menurut Trucha, skuad Harimau Kumbang musim ini yang dibarisi ramai muka baharu sememangnya memerlukan tenaga import bagi memperkuat jentera, terutama di bahagian serangan bersama seorang lagi ayam tambatannya, Casagrande.

“Kami tentunya perlukan kekuatan yang lebih di bahagian tersebut (serangan). Tetapi terpulang kepada pengurusan untuk membuat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan dengan pasukan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Aksi tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1 selepas ledakan Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-51 mematikan kelebihan yang dimiliki TFC hasil jaringan penyerang import Kpah Sherman, pada minit ke-14.

Dalam pada itu, Trucha berkata pasukannya juga sedang menanti ketibaan pemain pertahanan baharu, Christian Rontini, yang kini sedang menjalani tempoh kuarantin wajib.

Kehadiran pemain kelahiran berdarah Itali-Filipina itu diharap dapat memantapkan kubu pertahanan Penang FC, sekali gus memenuhi misi mempertahankan kedudukan di tangga ketiga Liga Super yang diraih musim lalu.

“Jangkaan untuk musim ini adalah tinggi. Tetapi kami akan cuba yang terbaik dan berusaha ke arahnya,” katanya.

Untuk musim ini, Penang FC masih mengekalkan tiga pemain import mereka iaitu Casagrande, Rafael Vitor dan Endrick dos Santos, yang mempamer aksi cemerlang membantu skuad tersebut mengakhiri saingan Liga di kedudukan ketiga dengan mengumpul 41 mata.

Pencapaian tersebut amat membanggakan, memandangkan pasukan berkenaan sekadar beraksi di Liga Perdana pada musim 2020 namun mampu memberi saingan sengit kepada pasukan gergasi di Liga Super pada 2021.- BERNAMA