KUALA LUMPUR – Individu yang didapati positif Covid-19 bagi kategori 1 dan 2A dan terdiri dalam kalangan kumpulan tidak berisiko tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Mereka ini berumur 60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kumpulan ini hanya mengalami simptom sakit tekak atau selesema tanpa demam atau sesak nafas; batuk tanpa demam atau sesak nafas; hilang deria rasa tetapi masih berselera makan.

Selain itu, cirit-birit dua kali atau kurang dalam masa 24 jam; keletihan dan sakit otot tetapi masih boleh melakukan aktiviti.

Menurut KKM, individu terbabit perlu melakukan pemantauan kendiri melalui Health Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Individu yang positif Covid-19 kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini. – MalaysiaGazette