Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bercakap kepada media selepas melawat keadaan gereja yang musnah akibat kebakaran di Gereja Assembly of God, Kota Kemuning, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 FEBRUARI 2022.

SHAH ALAM – Moratorium perlu dilanjutkan sehingga masalah kewangan majoriti rakyat benar-benar pulih dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan satu-satunya jalan penyelesaiannya.

Justeru Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu Bank Negara Malaysia mencari jalan terbaik menanganinya.

“Saya bersetuju KWSP bukanlah penyelesaian untuk membantu rakyat kita yang susah.

“Perlu ada instrumen kewangan lain yang kementerian dan Bank Negara perlu utarakan khususnya melibatkan moratorium itu.

“Saya setuju kalau boleh pihak Bank Negara lanjutkan moratorium sampai satu masa kita benar-benar pulih daripada segi ekonomi, peluang pekerjaan baharu, barulah boleh rakyat bernafas dalam tempoh agak sukar ini,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi gereja yang musnah dalam kebakaran di Kota Kemuning di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau ditanya mengenai gesaan pengeluaran KWSP sekaligus sebanyak RM10,000 buat kali terakhir yang masih dituntut ramai pihak termasuk dari Pergerakan Pemuda UMNO.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, institusi bank dalam negara telah terbukti berjaya membuat keuntungan meskipun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan Timbalan Menteri Perpaduan Negara berharap Kementerian Kewangan dan Bank Negara perlu meneliti perkara ini dan menyediakan instrumen kewangan terbaik untuk membantu rakyat.

“Saya berpandangan bahawa pihak Kementerian Kewangan dan Bank Negara perlu utarakan penyelesaian di luar kotak selain daripada apa kita dengar daripada Pemuda UMNO tentang KWSP ini,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast