Home Seni Hidup Video bapa bawa anak kecil kutip kotak sentuh hati netizen

Video bapa bawa anak kecil kutip kotak sentuh hati netizen

KUALA LUMPUR – Satu video tular menunjukkan seorang bapa menggunakan kereta sorong mengusung anak kecilnya menyentuh hati pengguna Facebook.

Video berdurasi 4.53 minit yang dimuat naik pemilik akaun Maisarah Hannan itu ditonton lebih 1.2 juta pengguna akaun laman sosial tersebut dan mendapat lebih 2,500 komen.

Menurut maklumat pada status yang dimuat naik, Maisarah yang juga merupakan seorang guru memaklumkan, rakaman dibuat pada 2 Februari lalu pukul 2.15 hingga 3 petang di Bandar Tawau, Sabah.

Berdasarkan video tersebut, lelaki berkenaan dilihat berusia 50-an merupakan seorang pemungut kotak dan botol terpakai membaringkan anak kecilnya di atas sebuah kereta sorong yang dipenuhi timbunan kotak.

Beberapa informasi turut disertakan dalam rakaman itu bagi menceritakan perjalanan video yang diambil tanpa diketahui lelaki berkenaan.

Ditanya sama ada lelaki itu sudah makan, Maisarah berkata, dia hanya tunduk dan kemudian memberitahu mereka belum menjamah makanan.

Ketika mencari makanan untuk diberi kepada lelaki tersebut Maisarah sengaja membiarkan telefon bimbitnya merakam situasi bagi melihat apa berlaku antara lelaki itu dengan anak kecilnya.

Dia sungguh tersentuh hati apabila melihat lelaki itu memberikan anaknya minum air kosong dengan menggunakan botol susu.

“Sungguh saya tewas pada babak yang ini…kasihnya seorang ayah pada anaknya.

“Miskin mungkin pada harta tapi kasih sayang yang ditunjukkannya sungguh tak ternilai harganya…Allahuakbar,” katanya yang turut menyertakan emoji sedih pada babak tersebut.

Maisarah turut memberitahu, lelaki tersebut memiliki isteri yang tinggal di perahu di tepi laut Kampung Ice Box.

Katanya, anak kecilnya dibawa kerana akan menangis bila ditinggalkan.

Pada akhir video itu Maisarah memohon agar rakan-rakan di media sosial mendoakan dan mengharapkan agar lelaki itu dimurahkan rezeki. – MalaysiaGazette