Datuk Rozman Isli

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 2 Mac depan bagi mendengar permohonan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli bagi membatalkan dakwaan salah guna kedudukan mendapatkan kontrak.

Kontrak itu juga didakwa telah diberikan kepada sebuah syarikat yang ahli keluarga tertuduh mempunyai kepentingan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes hari ini.

Rozman memohon supaya perbicaraan kesnya dapat digantung sehingga permohonan pembatalan selesai terlebih dahulu.

Kata Rozman dalam permohonan itu mendakwa pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikenakan terhadapnya tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan.

Malah kata wakil rakyat Sabah itu pendakwaan itu dilakukan dengan niat jahat selain menyalahgunakan proses mahkamah.

Sebelum ini, Rozman yang juga Ketua Whip WARISAN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Oktober tahun lepas atas dakwaan rasuah sebuah projek tiga tahun lepas.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Suapan itu ialah kontrak pekerjaan sebagai Operator Damaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) dan  boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan  penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette