Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Shah Alam, Fahmi Bazlan beramah mesra bersama peniaga pasar malam ketika hadir untuk menyampaikan bantuan pusingan modal peniaga pasar malam di Tapak Pasar Malam Berjaya Park Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 07 FEBRUARI 2022.

SHAH ALAM – Parti Berjasa komited membantu masyarakat terutama peniaga kecil yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara dan bencana banjir baru-baru ini.

Bagi meringankan beban peniaga kecil, Berjasa Bahagian Shah Alam dengan kerja Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam, telah mengesan seramai 34 peniaga yang sangat memerlukan bantuan modal pusingan dan peralatan perniagaan.

Justeru, menurut Yang Dipertua Berjasa Bahagian ini, Fahmi Bazlan turun ke beberapa pasar malam untuk mengagihkan bantuan kepada peniaga kecil yang memerlukan.

Kata beliau, dengan peruntukan dana sebanyak RM6,800, parti itu menyalurkan sumbangan RM200 kepada peniaga di tiga lokasi pasar malam.

“Di tapak Pasar Malam Seksyen 20, sembilan peniaga dengan peruntukan RM1,800, di Seksyen 19 seramai tiga peniaga dengan peruntukan RM600 dan 22 peniaga lagi di tapak Pasar Malam Berjaya Park dengan peruntukan RM4,400.

“Kerugian dan kekangan peniaga akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua tahun adalah ujian getir yang perlu dilalui semua peniaga.

“Tiada perniagaan tiada sumber pendapatan. Ramai dalam kalangan mereka yang saya dimaklumkan telah angkat tangan dan menutup perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas menyampaikan sumbangan modal pusingan kepada peniaga kecil di tapak Pasar Malam Berjaya Park, dekat sini, petang semalam.

Menurut Fahmi, lebih menyedihkan ada peniaga kecil yang terlibat dengan bencana banjir sehingga menenggelamkan kenderaan dan peralatan perniagaan.

Jelas beliau, mereka menanggung kerugian demi kerugian akibat bencana banjir dan pandemik Covid-19.

“Mana mungkin mereka mampu harungi semua masalah ini tanpa bantuan daripada kita semua.

“Nak mengharapkan bantuan daripada kerajaan tidak mencukupi, bahkan ada yang tidak menerima bantuan akibat permohonan ditolak dan sebagainya.

“Oleh itu, Berjasa tampil menjadi pemangkin semangat dan menyatakan kebersamaan untuk mereka bangkit semula memulakan perniagaan selepas mengharungi pelbagai dugaan yang menimpa,” katanya.

Menurut beliau, Berjasa Bahagian itu juga turut merancang beberapa inisiatif memperkasa peniaga dengan kursus dan latihan serta pendedahan yang perlu dikuasai oleh mereka.

Katanya, usaha itu akan dilakukan secara bimbingan dengan usahasama Persatuan Usahawan Muslimin Nasional (USMAN) pada masa akan datang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Watan Selangor yang telah bersama membantu menyalurkan sumbangan kepada 34 peniaga kecil berkenaan. – MalaysiaGazette