KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.8 peratus pada bulan Disember 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Pengembangan IPP ini disumbangkan oleh kenaikan 8.4 peratus dalam indeks pembuatan dan 3.7 peratus dalam indeks elektrik.

Bagaimanapun, indeks perlombongan mencatatkan kemerosotan 2.5 peratus.

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 1.3 peratus didorong oleh indeks pembuatan, perlombongan dan elektrik.

Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 8.4 peratus pada bulan Disember 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 11.3 peratus pada bulan November 2021.

Jabatan Perangkaan berkata, subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Disember 2021 adalah produk peralatan elektrik & elektronik 18.2%, produk makanan, minuman & tembakau (10.3%) dan produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (5.3%).

Pada masa yang sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport (9.6%) dan industri berorientasikan domestik (5.7%).

Peningkatan bagi industri berorientasikan eksport disumbangkan terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal dan pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Sementara itu, pertumbuhan bagi industri berasaskan domestik dipengaruhi oleh pembuatan produk makanan dan pembuatan logam asas.

Sektor pembuatan bagi perbandingan bulan ke bulan meningkat 0.5 peratus berbanding November 2021 disokong oleh kapasiti penggunaan kilang yang lebih tinggi terutamanya dalam subsektor produk peralatan elektrik & elektronik dan produk petroleum, kimia, getah & plastik.

Output sektor perlombongan merosot 2.5 peratus pada bulan Disember 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya disebabkan oleh kejatuhan
indeks mminyak mentah dan kondensat (-5.5%) dan indeks gas asli (-0.2%).

Indeks perlombongan merekodkan peningkatan 4.1 peratus berbanding bulan yang lalu.

Output sektor elektrik berkembang 3.7 peratus pada bulan Disember 2021 berbanding bulan sama tahun lalu.

Pada masa yang sama, dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik meningkat 1.7 peratus.

IPP bagi suku tahun keempat 2021 berkembang 6.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dipengaruhi oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan (9.2%) dan indeks elektrik (4.3%).

Sementara itu, indeks perlombongan menguncup 0.8 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast