Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Kapten Izham Ismail melakukan gimik Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di MAB Engineering Complex, KLIA. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2022.

SEPANG – “Kalau dia mahu bantu FAM datang jumpa dan tidak perlulah bercakap kepada media,” itulah reaksi ringkas Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai hasrat pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang bersedia membeli teknologi video bantuan pengadil (VAR) bagi meningkatkan mutu pengadilan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Hamidin yang merupakan Presiden FAM berkata, seharusnya dia (Norizam) terus berhubung dengan FAM dan bukannya memaklumkan kepada media.

“Komen saya senang, kalau nak apa dan bantu FAM dan jumpa saya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat AirBus 330-300 Harimau Malaya di sini, hari ini.

Semalam, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menyatakan kesanggupannya untuk membeli VAR dahulu buat FAM sekiranya teknologi berkenaan terlalu mahal dan di luar kemampuan badan induk itu.

Difahamkan kos memasang VAR di satu stadium dilaporkan boleh mencecah AS$150,000 (RM627,000), dengan nilai sekitar RM7.5 juta untuk 12 stadium dalam saingan Liga Super, tidak termasuk untuk pasukan Liga Perdana. – MalaysiaGazette