Leong Mun Yee

KUALA LUMPUR – Bekas ratu terjun negara, Leong Mun Yee hari ini menerima pengiktirafan membawa gelaran Datuk dalam satu Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.

Istiadat berkenaan menyaksikan atlet para negara, Abdul Latif Romly menerima gelaran sama sekaligus membuktikan keringat atlet dihargai.

Perkara itu dikongsikan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi hantaran di Facebook.

Status berkenaan ditulis: “Bekas atlet terjun negara @AngelaLeong (Mun Yee) terima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.”

Pada awal tahun ini, Mun Yee bersara daripada arena terjun selepas 27 tahun menabur bakti dengan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi pentas terakhir buat dirinya.

Sepanjang 27 tahun terbabit dalam sukan terjun, Mun Yee yang berpengalaman sebagai model sambilan itu menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa di temasya Sukan SEA.

Mun Yee, 37, turut pernah melakar pingat perak bersama Datuk Pandelela Rinong Pamg dalam acara 10m seirama wanita di Kejohanan Dunia Gwangju 2019. – MalaysiaGazette