Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor merancang untuk melebarkan program penetapan harga siling runcit ayam standard bersama telur di semua daerah di negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini program itu hanya tertumpu kawasan jualan di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Pasar Borong Selangor sahaja.

“Oleh kerana program ini mendapat sambutan baik terutama di premis seliaan PKPS, kita bercadang akan melebarluaskan ke seluruh daerah.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada kos dan keupayaan kita untuk melaksanakannya.

“Esok kita adakan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), mungkin Rabu atau Khamis ini saya akan umumkan keputusannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara di Ballroom Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, SUK Selangor, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, kerajaan negeri menerusi PKPS menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8 sekilogram sebagai usaha menangani lonjakan harga barang makanan.

Program selama dua minggu itu memperuntukkan sebanyak 50,000 ayam standard dengan pembelian dihadkan kepada dua ayam bagi setiap individu.

Manakala semalam, kerajaan Persekutuan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada RM9.10 kepada RM8.90 sekilogram.

Mengenai telur ayam, Amirudin berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan pihak pengeluar untuk memastikan jumlah mencukupi.

“Minggu lalu kita bermula dengan ayam dan selepas ini diteruskan dengan telur pula serta memberi subsidi harga kepada peniaga.

“Perlu diingat, program ini adalah campur tangan kerajaan negeri yang bersifat sementara sebagai usaha mengurangkan kesan peningkatan harga mendadak pada waktu itu.

“Campur tangan ini tak boleh lama. Bukan selamanya atau sepanjang tahun, tapi mungkin untuk tempoh satu, dua atau tiga bulan sahaja atau sehingga kawalan sepenuhnya dapat diselaraskan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette