Proses pelupusan Al-Qurandan bahan bercetak mengandungi ayat suci Al-Quran yang rosak.

PEKAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menggunakan kaedah insinerator atau tempat pembakaran khas milik JAIP dan swasta bagi melupuskan Al-Quran dan bahan bercetak yang rosak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, pihaknya melupuskan lebih 30 tan Al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat Al-Quran yang rosak akibat bencana banjir di Pahang

Tambah Noridzuan, daerah Bentong dan Temerloh merekodkan jumlah kutipan Al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat Al-Quran rosak tertinggi pada tahun lalu.

“Proses pelupusan atau pembakaran itu mampu melupuskan kira-kira 100 kilogram bahan sehari, abu akan digaul dengan air sebelum ditempatkan dalam bekas untuk dikeringkan selama seminggu.

“Kemudian abu dikeringkan menjadi bongkah seberat lima kilogram akan dibungkus dalam beg plastik sebelum proses melupuskan di laut dilakukan dengan bantuan agensi kerajaan lain menggunakan bot,” katanya.

Noridzuan berkata, aktiviti pelupusan itu perlu dilakukan mengikut syarak bagi memelihara kemuliaan Al-Quran dan dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan jabatan tersebut.

Justeru orang ramai yang ingin menyerahkan Al-Quran atau bahan bercetak mengandungi ayat-ayat suci boleh diserahkan di lokasi pengumpulan aktiviti pelupusan seperti di masjid kariah atau surau terpilih. – MalaysiaGazette