Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bilangan 1 tahun 2022 ketika di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang untuk memberikan kad warga asing kepada pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah yang menetap di negara sejak berpuluh tahun lamanya.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia bukan kad pengenalan warganagera, sebaliknya ia dokumen khas untuk PTI dalam menangani isu pelarian di Sabah.

“KDN melalui Jawatankuasa Warga Asing di Sabah (JKPWAS) bersetuju supaya semua orang yang berada di Sabah mempunyai identiti atau berdokumen.

“Ini supaya kita boleh mengetahui keberadaan golongan ini, iaitu dengan kita berikan kad warga asing di Sabah.

“Walaupun kita tak tahu negara asal mereka dari mana, tapi kita tahu dia warga asing sampai bila-bila,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KDN, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mempengerusikan mesyuarat (JKPWAS) bagi membincangkan isu keselamatan berkaitan PTI di Sabah.

Dalam pada itu Hamzah berkata, sebelum pemberian kad warga asing itu dilakukan, pihaknya perlu mengumpul data terkini PTI yang di Sabah yang layak untuk mendapat dokumen itu.

“Dalam perbincangan, kita minta pendataan (PTI) dilakukan semula,” katanya.

Katanya lagi, pemberian dokumen itu dijangka boleh dilaksanakan selewat-lewatnya dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

“Dalam masa tiga bulan (beri kad warga asing), kalau boleh saya nak bagi semalam, lagi cepat lagi bagus nak elak timbul lagi pelbagai isu selepas ini,” katanya.

Ditanya tentang pemberian dokumen itu boleh mengundang pelbagai isu, Hamzah menegaskan ia tidak timbul kerana ia bukan kad pengenalan penduduk tetap mahupun warganegara.

“Kita nak bagi kad warga asing, bukan kita nak bagi kad warganegara, sekurang-kurangnya kita tahu mereka ini warga asing jika ditahan dalam operasi (pihak berkuasa),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast