MUDA Melaka state election wasted opportunity #KerajaanGagalLagi #KerajaanGagal2.0 #KabinetGagal2.0 UMNO Ismail Sabri Yaakob new cabinet Syed Saddiq
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa kepada parti itu.

Timbalan Ketua Penerangan Pusat PKR Manivanan Govindasamy dalam surat terbuka kepada Syed Saddiq berkata, akar umbi PKR tidak berpuas hati selepas Amanah memberikan kerusi tersebut kepada MUDA.

Menurut Manivanan, PKR dari awal telah berhasrat untuk bertanding di DUN Puteri Wangsa.

Namun selepas beberapa siri perbincangan, kerusi berkenaan telah diberikan kepada Parti Amanah Rakyat (PAN) atas semangat setia kawan.

Justeru beliau meminta Syed Saddiq untuk memulangkan kerusi tersebut kepada PKR.

Parti itu berhasrat untuk mencalonkan Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis Maharan bertanding di DUN berkenaan. Napsiah merupakan anak kelahiran DUN Puteri Wangsa.

“Saudari Napsiah juga telah melakukan gerak kerja di DUN tersebut dan mempunyai jentera kempen teratur yang telah diselaraskan untuk tempoh masa melebihi setahun.

“Sekiranya Syed Saddiq menghayati perjuangan ini secara ikhlas dan jujur, seharusnya mempertimbangkan untuk memulangkan kerusi tersebut kepada, Napsiah yang telah melakukan kerja awal melebihi tempoh masa setahun secara agresif, efisien dan menyeluruh untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan dan/atau blok Pembangkang,” katanya.

Manivanan yakin DUN Puteri Wangsa antara kerusi yang boleh dimenangi oleh Pakatan Harapan.

Katanya, pembangkang harus meletakkan calon yang telah bekerja di kawasan tersebut dan calon yang mampu memberikan kemenangan kepada mereka.

“Sekiranya benar, perjuangan MUDA dan Syed Saddiq berteraskan kefahaman strategik dan matlamat bersama untuk memastikan kemenangan bagi masyarakat Johor di negeri Johor dan membawa kestabilan politik di negeri Johor, Syed Saddiq sewajarnya memberikan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada Napsiah.

“Hakikatnya, Napsiah merupakan calon yang mempunyai kelayakan, yang juga merupakan seorang anak muda dan wanita yang mempunyai kapasiti dan kewibawaan dari setiap sudut untuk memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan dan/atau blok pembangkang,” kata beliau.

Tambah Manivanan, sebagai pemimpin yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan sewajarnya Syed Saddiq membuat keputusan yang bernas dan rasional untuk memastikan kemenangan pembangkang di Johor.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa antara enam kerusi yang diserahkan oleh Amanah dan DAP kepada MUDA untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan. – MalaysiaGazette