Murid-murid melakukan pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu sambil diperhatikan oleh guru yang bertugas bagi memulakan sesi persekolahan penggal ketiga, 2021/2022 untuk negeri Kumpulan B ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, Banting, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Mulai esok, pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke premis institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah tidak diwajibkan.

Namun, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.

Langkah ini selari dengan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan baru-baru ini yang memansuhkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis berkuat kuasa mulai 11 Februari 2022.

Namun, sebagai langkah keselamatan, ibu bapa/penjaga dimohon untuk memastikan anak/anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah.

KPM dalam kenyataan berkata, murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.

Tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.

KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast