Acryl Sani Abdullah Sani (tengah) bergambar bersama Pengurusan Tertinggi UKM dan PDRM semasa Lawatan Ketua Polis Negara & Taklimat Wad PDRM @ HCTM

KUALA LUMPUR – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal mewujudkan Wad Polis Diraja Malaysia di HCTM (PDRM @ HCTM) tidak lama lagi.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, idea mewujudkan Wad PDRM @ HCTM adalah hasil daripada pertemuan Pengurusan Tertinggi UKM dengan pihak Pengurusan Tertinggi PDRM pada tahun 2021.

”PDRM merupakan antara anggota keselamatan utama negara yang berhadapan dengan risiko yang tinggi. Justeru itu, UKM tampil menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada PDRM dengan menyediakan wad ini untuk keselesaan anggota,” katanya semasa menyampaikan ucapan semasa Lawatan Ketua Polis Negara & Taklimat Wad PDRM @ HCTM, di sini.

Delegasi PDRM ke UKM diketuai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Mohd Ekhwan berkata. kolaborasi antara PDRM dan UKM sudah lama terjalin iaitu dengan penawaran program diploma untuk pegawai kanan PDRM.

Kemudian pada tahun 2005 dan 2017, kerjasama ini diperkukuhkan dengan termeterainya Perjanjian Kerjasama antara PDRM dengan UKM melalui penawaran Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan Diploma Siswazah Sains Kepolisan.

Sehingga kini seramai 496 pegawai kanan PDRM telah menamatkan pengajian bagi kedua-dua program dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Acryl Sani dalam ucapannya berkata, projek Wad PDRM @ HCTM adalah lembaran baharu yang dibuat oleh UKM kepada PDRM.

“Terima kasih kepada UKM, khususnya HCTM yang menghulurkan tangan untuk sama-sama membantu warga PDRM dengan penyediaan wad yang serba moden ini. Saya harap projek ini akan berjalan dengan lancar dan menepati sasaran masa yang telah kita tetapkan. Saya juga berharap agar kerjasama ini akan dapat dimantapkan dan diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, jika wad itu direalisasikan, PDRM akan menjadikan projek tersebut sebagai platform kepada perbincangan dengan hospital pembelajaran yang lain seperti Hospital Pembelajaran Universiti Putra Malaysia di Serdang dan Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Mengikut perancangan Wad PDRM @ HCTM yang bakal menempatkan sebuah bilik rawatan VIP, empat buah bilik rawatan berdua, 11 ruang kubikel atau wad terbuka, ruang menunggu atau ruang tetamu dan ruang sokongan klinikal bakal disiapkan pada Januari 2023 dengan anggaran kos sebanyak RM6.3 juta. – MalaysiaGazette