Pada tahun 2022, PTPTN sekali lagi menjalin kerjasama strategik bersama Shopee, BESTPay dan SpayGlobal (SarawakPay) melalui pelaksanaan Kempen Click, Pay & Earn 2022.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa mencari inisiatif bagi melaksanakan kempen-kempen yang memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia terutamanya pelanggan PTPTN.

Pada tahun 2022, PTPTN sekali lagi menjalin kerjasama strategik bersama Shopee, BESTPay dan SpayGlobal (SarawakPay) melalui pelaksanaan Kempen Click, Pay & Earn 2022.

“Kempen ini diperkenalkan bertujuan untuk menggalakkan dan memudahkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman secara dalam talian melalui saluran bayaran balik yang telah disediakan oleh rakan strategik yang menyertai kempen ini.

“Selain itu, kempen ini juga merupakan salah satu usaha bagi menghargai peminjam PTPTN yang komited membayar balik pinjaman pendidikan mereka walaupun di dalam situasi ekonomi yang mencabar,” kata PTPTN dalam satu kenyataan hari ini.

Kempen Click, Pay & Earn 2022 terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman menggunakan aplikasi ShopeePay, BESTPay dan SpayGlobal (SarawakPay) dalam tempoh kempen iaitu bermula pada 8 Februari sehingga 30 April 2022.

Peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik dengan nilai minimum mengikut saluran dalam tempoh kempen untuk melayakkan peminjam mendapat ganjaran yang ditawarkan.

Melalui kempen ini, pelanggan yang membuat bayaran balik pinjaman mereka dalam tempoh kempen berpeluang menerima ganjaran seperti berikut:

Saluran Kelayakan Pemberian Ganjaran ShopeePay Bayaran balik pinjaman minimum RM100 dalam satu transaksi. Pemberian baucar diskaun RM5 kepada pengguna aplikasi Shopee tertakluk kepada 30 pengguna terawal setiap hari bagi bayaran pinjaman
dalam tempoh kempen.

BESTPay pula bayaran balik pinjaman minimum RM100 dalam satu transaksi dan pemberian lima kredit BP kepada 30 pengguna terawal yang membuat bayaran balik pinjaman semasa slot BESTPay 1 jam Happy Hour yang akan berlangsung secara rawak antara pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari sepanjang tempoh kempen.

SpayGlobal (Sarawak Pay) melibatkan bayaran balik pinjaman minimum RM10 dalam satu transaksi.

Pemberian RM2 baucar kepada 100 pengguna terawal setiap bulan bagi bayaran balik pinjaman dalam tempoh kempen.

Jalinan kerjasama di antara PTPTN dan rakan strategik ini adalah jalinan kerjasama kedua pihak sejak tahun 2021 lagi dalam usaha untuk menggalakkan pelanggan PTPTN menggunakan transaksi tanpa tunai serta sebagai pemudah cara bagi membantu peminjam PTPTN membuat bayaran secara dalam talian.

Melalui kolaborasi ini jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan PTPTN dalam memperkasakan agenda pendigitalan serta memastikan peminjam dapat melaksanakan bayaran balik dengan mudah, cepat dan selamat secara dalam talian di kala pandemik masih lagi melanda negara.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pihaknya mengadakan kerjasama strategik bersama rakan e-wallet untuk menarik minat peminjam membuat bayaran balik dan pada masa yang sama berpeluang mendapat ganjaran yang
ditawarkan dalam tempoh kempen.

“Ini juga merupakan sebagai salah satu usaha membudayakan kaedah pembayaran secara digital di kalangan pelanggan PTPTN,” katanya.

Justeru PTPTN berharap dengan pelaksanaan kempen ini akan menjadi pemudah cara kepada peminjam PTPTN dan secara tidak langsung menggalakkan pembayaran balik pinjaman serta memperkasakan perkhidmatan PTPTN ke arah lebih dinamik dan
cemerlang melalui pendigitalan selaras dengan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025.

“Sesungguhnya bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh para peminjam amat bermakna dan penting demi kelestarian pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang,” kata Ahmad Dasuki.

Layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai kempen Click, Pay & Earn 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast