Puad Zarkashi Muhyiddin Yassin letter of demand three-day quarantine minister double standard UMNO Supreme Council Member Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi defy UMNO decision
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – “Kalau 1MDB punca Muhyiddin dipecat dari UMNO, sudah lama dia dipecat. Tetapi Muhyiddin dipecat kerana dia naik pentas DAP untuk memburukkan parti, dedah Datuk Mohd Puad Zakarshi.

Peliknya, kata beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan isu orang Melayu untuk tolak DAP bagi menjatuhkan Tun Dr Mahathir melalui Langkah Sheraton.

”Itu bukti Muhyiddin pakar khianat dan suka mengkhinat,” dakwanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Malaysia (PPBM) membuat kenyataan bertajuk Siapa Pengkhianat?

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin berkata, ada pemimpin UMNO menghasut orang Melayu supaya percaya dia pengkhianat.

”Kononnya sayalah yang menyebabkan kerugian kepada orang Melayu apabila menubuhkan Bersatu dan bekerjasama dengan PKR dan DAP menjatuhkan UMNO.

”Mereka cuba menutup hakikat sebenar bahawa UMNO dikhianati oleh bekas Presiden UMNO sendiri, iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak. Beliau membiarkan skandal 1MDB menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci UMNO.

”Beliau memecat saya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015 hanya kerana menyarankan agar isu 1MDB disiasat secara telus. Saya sarankan demikian supaya ia tidak menimbulkan sebarang tanggapan buruk kepada kerajaan dan parti pada ketika itu.

”Malangnya saranan saya dijawab dengan pemecatan dari kerajaan dan UMNO. Ingat, saya dipecat bukan kerana skandal rasuah mahupun salah laku moral.

”Saya dipecat kerana meminta diadakan siasatan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam kehilangan RM42 bilion wang 1MDB dibawa ke muka pengadilan,” tulis Muhyiddin di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, sebenarnya Muhyiddin dipecat selepas mengaku dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Pengakuan itu dibuat oleh Muhyiddin pada 9 September 2015.

Alasan Muhyiddin ialah Najib telah memalukan negara, dedah Datuk Mohd Puad.

Ketika itu, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas namanya dicadangkan oleh Datuk Dr Abdul Latif Ahmad.

”Masa MKT mesyuarat untuk pecat Muhyiddin, Najib dan Zahid diminta keluar,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mohd Puad yang juga Ahli MKT menambah, keputusan mesyuarat itu adalah konsensus supaya Muhyiddin dipecat.

Menurut beliau, Perikatan Nasional pula adalah perangkap Muhyiddin untuk khianat UMNO.

Namun, Muhyiddin itu gagal kerana UMNO tolak PN justeru tidak masuk perangkapnya.

Pas pula, katanya, hanya tunggu masa untuk dikhianati.

Menjawab kenyataan Muhyiddin yang mendakwa Najib memalukan negara, Mohd Puad bertanya, apakah menggantung Parlimen dan mengisytihar darurat tidak malukan negara.

“Negara lain tak buat. Angka covid terus mencanak,” katanya.- MalaysiaGazette