Hamzah Zainuddin menyerahkan Kotak Prihatin kepada Ketua Besatu Pengerang,Faizal Asmar di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) akan memastikan semua 56 calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bersih dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, kes mahkamah atau mempunyai masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, calon yang bakal dilipih juga akan melalui proses tapisan ketat.

“Sudah semestinya kita akan pastikan calon-calon daripada parti komponen akan diteliti semua rekod mereka, sama ada pernah terlibat dengan kegiatan jenayah, kes mahkamah atau ada masalah dengan LHDN, lepas itu baru kita umumkan secepat mungkin. Mungkin minggu depan.

“Pembahagian kerusi akan dilakukan selepas kita mendapat kepastian (daripada agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Hamzah ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi PN, beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan memandangkan kemungkinan berlaku pertukaran kerusi pada saat-saat akhir. -MalaysiaGazette