Gambar Hiasan. foto IQBAL BASRI, 27 APRIL 2020

BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersedia menerima hampir 10,000 pelajar tempatan dan antarabangsa ke kampus secara berperingkat pada bulan Mac ini, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, pihak universiti, telah mengkaji dan mengetatkan SOP yang sedang diguna pakai di universiti itu, bagi melancarkan proses kemasukan pelajar bermula 27 hingga 29 Mac ini.

“Kami bakal menerima kemasukan pelajar ke kolej kediaman hampir 10,000 orang bagi semester dua sesi 2021/2022. Jadi, pematuhan SOP adalah sangat penting, dan pihak kami juga akan mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Keselamatan Negara dari semasa ke semasa.

“Kami akan meminta pemimpin pelajar terutamanya Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Eksekutif Pelajar di kolej kediaman, untuk membantu mengingatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi SOP secara berterusan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Ekhwan berkata, terdapat dua kategori pelajar yang akan hadir ke kampus, iaitu melibatkan pelajar yang menginap di dalam kampus dan juga di luar kampus.

“Jumlah bilangan pelajar yang akan menginap di kolej kediaman adalah tertakluk kepada jumlah kapasiti kolej dan pihak Pusat Perumahan Pelajar akan memastikan semua pelajar mematuhi SOP yang telah dibuat,” katanya.

Bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), Mohd Ekhwan berkata, dekan dan pengurusan fakulti telah memastikan semua SOP untuk kuliah, makmal dan aktiviti klinikal bagi fakulti masing-masing dikemas kini.

“Pelaksanaan PdP, amali dan makmal serta aktiviti penyelidikan, akan bergantung kepada kapasiti kemudahan dewan kuliah dan makmal yang ada. SOP telah dibangunkan dan dikemas kini dari semasa ke semasa, bersesuaian dengan kapasiti kemudahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pihak fakulti juga dibenarkan untuk menentukan kaedah pembelajaran bagi aktiviti penyelidikan dan kaedah PdP, sama ada dilakukan secara dalam talian, bersemuka atau hibrid.

“Walau bagaimanapun, pihak Jawatankuasa Tindakan Krisis UKM: Kategori Penyakit Berjangkit dan Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM), akan meneliti semula semua SOP fakulti sebelum diperakukan,” katanya. – Bernama