Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Foto AFFAN FAUZI, 01 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan terus memantau situasi pengurusan syarikat penerbangan bagi memastikan segala mitigasi risiko terhadap keselamatan dalam penerbangan diuruskan dengan sewajarnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu hantaran Facebooknya berkata, CAAM tidak akan berkompromi dalam sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan operasi syarikat penerbangan.

Wee berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan insiden penemuan seekor ular di dalam pesawat penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada 10 Feb lepas sehingga menyebabkan pesawat berkenaan terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.

“Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah berhubung rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengenai perkara ini, dan pengawal selia keselamatan serta teknikal telah menguruskan hal ini dengan baik bersama syarikat penerbangan berkenaan mengikut semua prosedur dan peraturan keselamatan,” katanya.

Menurut Wee, dalam kejadian itu, pesawat AirAsia berkenaan telah selamat dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak mengikut prosedur keselamatan yang diperlukan.

Katanya setiap syarikat penerbangan perlu mematuhi semakan prapenerbangan yang ketat sebagai sebahagian daripada keperluan dan prosedur operasi standard.