Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Abdul Aziz Shari pada sidang media Jelajah Johor Bangkit, Kluo Ngundi sempena PRN Johor di Pejabat PKR, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2022.

PETALING JAYA – Sebagai pimpinan muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Aziz Shari tidak meletakkan dirinya di tempat yang selesa sekiranya dipilih sebagai calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Adik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu berkata, sepanjang tempoh kempen beliau tidak merasakan abangnya akan memberi lebih tumpuan di kawasan itu.

“Kalau abang saya turun pun, dia turun sebagai pimpinan parti dan akan berkempen di semua kerusi DUN yang Pakatan Harapan (PH) bertanding.

“Saya tidak rasa dia akan turun dan hanya memberi tumpuan kempen di kawasan yang saya sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pontian,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, semalam.

Baru-baru ini nama beliau menjadi perhatian media, yang disebut-sebut bakal bertanding di DUN Benut pada PRN Johor.

Abdul Aziz, 33, yang menetap di Benut dijangka mencabar Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang juga penyandang DUN Benut dan dijangka mempertahankan kerusinya itu.

Desas-desus berkenaan hangat diperkatakan selepas Abdul Aziz, aktif dalam kerja kemasyarakatan bersama badan bukan kerajaan (NGO) di Johor dan Benut sejak 2019.

Ditanya adakah beliau bersedia sekiranya dicalonkan pucuk pimpinan tinggi PKR, anak jati kelahiran Kampung Asam Kumbang, Benut itu berkata, keputusan tersebut terletak di tangan pimpinan parti.

Katanya, beliau akan turun berkempen walau siapa sahaja calon bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PKR.

“Saya terima dengan hati terbuka siapa sahaja calon DUN Benut, terpulang pada parti. Saya akan bekerja untuk kemenangan parti,” katanya. – MalaysiaGazette