Bayi empat bulan yang disimbah minyak panas oleh bapanya masih dirawat di Hospital Melaka.

MELAKA – “Terima kasih sebab ramai yang doakan anak segera sembuh dan alhamdulillah doktor kata melecur cuma lima peratus.

“Tapi anak masih kerap menangis, mungkin kerana menahan sakit luka akibat melecur disimbah minyak panas,”,” kata Ira, ibu kepada bayi tersebut.

Ira, 22, turut menjadi mangsa simbahan minyak panas oleh suaminya berpunca daripada perasaan cemburu dalam kejadian di rumahnya di Semabok Dalam, di sini petang Jumaat lalu.

Menurut Ira, anak perempuannya berusia empat bulan itu kini lebih banyak menangis, namun lega apabila doktor memaklumkan kecederaan hanya lima peratus di kaki kiri anak bongsunya itu.

“Sekarang ini, saya dan anak masih dirawat di Hospital Melaka dan masih menunggu pemeriksaan daripada pakar kulit esok.

“Buat masa ini, biarlah pihak polis yang menjalankan siasatan dan selepas itu, barulah saya memikirkan masa depan bersama empat anak,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini hari ini.

Doktor mengesahkan lima peratus kaki bayi ini melecur. #malaysiagazetteSemalam media melaporkan seorang lelaki berusia 24 tahun yang sanggup bertindak ‘gila’ menyimbah minyak panas kepada isteri dan bayi perempuannya berusia empat bulan selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

Dalam kejadian kira-kira 5.50 petang Jumaat di Semabok Dalam, di sini, mangsa berusia 22 tahun serta bayinya terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan akibat melecur di beberapa bahagian badan.

Kejadian dikatakan berpunca apabila suami berusia 24 tahun mengesyaki isterinya berkawan dengan lelaki lain selepas kerap berbual menggunakan telefon bimbit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan selepas polis menerima maklumat kejadian.

Menurut beliau, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan. – MalaysiaGazette