Pengguna boleh menyemak status halal di laman sesawang www.halal.gov.my.

KUANTAN – Semua pemegang sijil pengesahan halal Malaysia bagi Rumah Sembelih di Pahang diwajibkan untuk meletakkan label pada setiap ayam mentah selepas siap diproses.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr. Zulkifle Ali Al-Hafiz berkata, pemegang sijil menggunakan bungkusan plastik atau menggunakan label dan diletakkan di bahagian paha ayam mentah.

Perkara tersebut selaras dengan ketetapan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) tahun 2020 .

“Aduan orang awam berkaitan bekalan ayam yang diperoleh di semua pasar raya dalam negeri Pahang semakin kerap diterima oleh Bahagian Pengurusan JAIP dan perkara ini juga ditularkan di dalam media sosial.

“Maklumat yang perlu dilabekal perlu mengandungi nama produk, alamat pemegang SPHM, logo halal beserta nombor MS beserta nombor rujukan fail,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Justeru, bagi mengelak kekeliruan orang awam, JAIP memutuskan untuk mewajibkan semua pemegang Sijil pengesahan halal bagi skim Rumah Sembelih Negeri Pahang menerusi edaran kepada pengurusan rumah sembelihan menerusi edaran surat pada 14 Februari 2022.

Semua pembungkusan, pelabelan, pengiklanan dan pelabelan produk hendaklah sama seperti nama produk yang diisytiharkan dalam borang permohonan MYeHALAL.

“Label pembungkusan hendaklah dicetak dengan terang dan jelas serta tidak mudah dipadamkan. Sebarang tuntutan pada label produk hendaklah mematuhi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

“Pelabelan produk yang diproses dan dibungkus dalam negara hendaklah menggunakan Bahasa Melayu dan boleh termasuk terjemahannya dalam mana-mana bahasa lain,” katanya.

Jelasnya, pegawai pemeriksa Bahagian Pengurusan Halal JAIP boleh mengeluarkan Notis Ketidakuran bagi kesalahan tersebut jika gagal mempamer label.

Terdahulu, timbul isu apabila penjual ayam menggantung sijil halal milik rumah penyebelihan yang bertentangan syarat Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) tahun 2020. – MalaysiaGazette