Nurainie Haziqah

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Nurainie Haziqah Shafii mengakui menerima kritikan dan serangan peribadi apabila memilih untuk bersama parti itu.

Menerusi hantarannya di Facebooknya, Nurainie Haziqah atau lebih dikenali dengan nama Ainie Haziqah berkata, ramai yang tidak bersetuju dengan tindakannya meningalkan PKR dan menyertai MUDA.

“Sebagaimana yang diumumkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kini saya adalah ahli Parti MUDA dan Jawatankuasa Eksekutif Pusat.

“Saya sedar ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan ini, saya turut menerima pelbagai kritikan dan serangan peribadi.

Namun, saya menerima semua itu dengan hati yang terbuka,” tulisnya.

Katanya, menjadi focus utamanya adalah membantu jentera MUDA untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac hadapan.

“Pada masa sama, saya akan meneruskan usaha dan perjuangan terutamanya dalam isu melibatkan kewarganegaraan, komuniti, wanita dan kanak-kanak.

“Ia termasuk isu keganasan domestik, sekuriti sosial dan ketidakadilan masyarakat serta isu migran dan pelarian,” katanya.

Katanya lagi, isu-isu tersebut menjadi perjuangannya sejak Bersama PKR sebelum ini

“Ia juga selari dengan prinsip dan ideologi MUDA yang mengutamakan politik khidmat dan kebajikan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli keluarga dan sahabat atas sokongan dan kepercayaan,” katanya.

Menghargai segala bentuk kritikan yang membina, Ainie Haziqah percaya, ia akan membantu dalam perjuangannya bersama MUDA.

Nurainie meletakkan jawatan sebagai Ketua Srikandi PKR dan Exco Majlis Pimpinan Wanita PKR  pada Mei tahun lalu kerana merasakan sudah tidak selari dengan perjuangan parti itu.

Tidak hanya itu, Ainie Haziqah juga melepaskan jawatannya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ini kerana, dia tiada lagi ada keyakinan dan kepercayaan kepada idealisme perjuangan serta hala tuju PKR lantas menyertai MUDA.

MUDA pada ketika ini diberikan enam kerusi oleh DAP dan Parti Amanah Negara bagi bertanding di PRN Johor  sementara masih lagi menunggu perbincangan lanjut dengan PKR bagi melengkapkan 10 buah kerusi yang dimahukan parti ini.

PRN Johor bakal mempertaruhkan 56 kerusi selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 22 Januari lalu. – MalaysiaGazette