Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad bersama Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar (kiri) melihat van sumbangan pada Majlis Perdana Serahan Van Program Mobiliti Tabung Haji di Menara TH, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) masih menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung status ibadah haji bagi tahun ini, termasuk kuota serta kriteria pemilihan jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, setakat ini pihaknya juga belum dipanggil untuk menghadiri sebarang mesyuarat.

“Menteri Haji Arab Saudi belum lagi panggil semua negara untuk kita bincang.

“Kita akan maklumkan setelah kita dapat keputusan daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis serahan Program Mobiliti TH di Menara Tabung Haji, sebentar tadi.

Hadir sama Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Malaysia tidak menghantar rombongan jemaah haji sejak 2020 kerana penularan jangkitan Covid-19.

Bahkan, pada musim Haji 1442 Hijrah/2021, Arab Saudi telah mengehadkan ibadah itu hanya untuk rakyatnya dan golongan ekspatriat yang berada di negara berkenaan sahaja.

Berdasarkan laman web TH, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia sebelum ini ialah 31,600.

Pada majlis sama, TH akan kekal menggunakan sistem penggiliran dengan memberi keutamaan kepada jemaah haji tahun 2020 dan 2021.

“Kita sedang perhalusi dan kita akan umumkan dan kita kena tahu mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang akan diberikan kepada TH oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, agihan keuntungan Tabung Haji akan diumumkan pada Mac depan.

Jelasnya, agihan itu akan diberikan seperti biasa selepas ditolak zakat.

“InsyaAllah kita akan umumkan dalan bulan Mac, tengah tengok dari sudut akhir perakaunan dan sebagainya.

“Nanti awak (wartawan) tengok tinggi atau rendah (agihan keuntungan),” katanya.

Tahun lalu, agihan keuntungan TH diberikan sebanyak 3.10 peratus. – MalaysiaGazette