SHAH ALAM – Seorang pemandu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berdepan dengan empat tuduhan menerima rasuah bagi membantu mendapatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan.
Muhamad Azwan Shah Abdullah, didakwa menerima RM8,850 daripada Faisal Azami Mohd Zainudin antara Februari hingga Mac 2021.
Beliau yang berusia 32 tahun dan berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (I) Akta yang sama.
Sekiranya didapati bersalah, Muhamad Azwan berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun selain boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut nilai lebih tinggi.
Selain itu, Muhamad Azwan turut berdepan empat pertuduhan pilihan bagi kesalahan yang sama.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, hari ini.
Hakim, Rihaida Rafie kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap Muhamad Azwan.
Tertuduh turut diarahkan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terdekat sebulan sekali selain perlu menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Hakim menetapkan tarikh sebutan kes pada 17 Mac ini. -MalaysiaGazette