Wan Muhammad Syafiq Hilmi Wan Kamri (kanan). Foto Facebook KDA FC,

KUALA LUMPUR – Bekas penjaga gol remaja kebangsaan, Wan Muhammad Syafiq Hilmi Wan Kamri berazam untuk bangkit semula bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC menghadapi Piala Presiden tahun ini.

Syafiq mahu kembali mengukuhkan reputasi dan melupakan memori pahit selepas terpinggir untuk beraksi selama dua musim bersama Selangor FC dalam kejohanan Piala Belia yang dibatalkan gara-gara pandemik Covid-19.

Pemain kelahiran Kuala Nerus, Terengganu itu berkata, peluang yang diberikan oleh Kedah merupakan peluang terbaik untuk beliau membukti kemampuannya selain mahu menggunakan pengalaman beraksi di luar negara bersama Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

“Saya mahu terus bekerja keras bagi membuktikan kemampuan diri saya pada musim ini dan membalas kepercayaan terhadap saya di atas pemilihan yang dilakukan oleh pihak pengurusan.

“Dua tahun tanpa kejohanan cukup memberi pengalaman berharga dalam karier sebagai pemain bola sepak. Namun dugaan dan cabaran perlu ditempoh selain perlu menunjukkan betapa kuatnya kita dan sejauh mana kita mampu berkembang dalam apa jua keadaan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Sebelum menyertai AMD, Syafiq, 20, merupakan pelatih di Sekolah Sukan Bukan Jalil dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail.

Ketika bersama AMD di bawah kendalian Lim Teong Kim, dia menimba banyak pengalaman menyertai kejohanan di luar negara antaranya Asian Tour, Euro Tour, Torneo Delle Nazioni Italy, AFF Thailand, AFC Indonesia, AFC Malaysia dan Jenesys Cup Japan.

Wan Muhammad Syafiq Hilmi Wan Kamri merupakan graduan Akademi Mokhtar Dahari.

Syafiq kini dipinjamkan menyertai skuad Liga Super Kedah di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak bagi menghadapi Piala Sabah Maju Jaya 2022 dan menimba pengalaman berlatih bersama jurulatih legenda, Khairul Azman Mohamad.

Mengulas lanjut, Syafiq reda apabila kontraknya bersama Selangor FC tidak sambung penghujung tahun lalu yang menjadi permulaan untuk berhijrah bersama Kedah.

Malah beliau juga tidak putus asa apabila tidak terpilih dalam sesi pemilihan bersama KL City FC dan Skuad Projek FAM-MSN sebelum ini.

Bagi anak keempat daripada lima beradik itu, Syafiq percaya dengan ketentuan Ilahi dan hikmah di mana seorang pemain itu perlu bekerja keras, fokus dan berdisiplin dalam latihan untuk mencapai kejayaan.

“Saya dan rakan-rakan mahu membantu Kedah menjulang Piala Presiden musim ini dengan menampilkan prestasi dalam setiap perlawanan.

“Pada masa sama, saya juga tidak mahu melepaskan peluang keemasan dan ingin mengintai peluang beraksi dengan skuad senior suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Piala Presiden 2022 bakal bermula pada 23 Februari ini.

Kedah berada dalam Kumpulan A (Zon Utara) bersama Penang FC, Perak FC, Kelantan FC, Kelantan United dan Perlis United. – MalaysiaGazette