KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kecewa dengan pertuduhan rasuah yang dihadapi beliau dan menyifatkannya sebagai dakwaan tidak benar.
Bagaimanapun, beliau kekal tenang serta bertekad membersihkan namanya melalui proses perundangan.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, keadaan Abdul Azeez ketika ini baik dan semangatnya kekal kuat untuk menghadapi prosiding mahkamah.
Menurutnya, bekas Ahli Parlimen Baling itu tidak akan berputus asa dalam mempertahankan diri dan menjelaskan kedudukannya di mahkamah.
“Beliau berkeadaan baik. Semangatnya masih kuat. Cuma sudah tentu beliau berasa kecewa dengan hakikat bahawa tuduhan tertentu, tuduhan yang tidak benar, telah dibuat terhadapnya.
“Beliau bertekad untuk membersihkan namanya. Pasukan undang-undang berhasrat untuk meneliti perkara ini dan mempertahankan namanya, serta mempertahankan dirinya juga,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Terdahulu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya berkaitan cadangan pelaburan bernilai RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad pada 2014.
Mengulas prosiding itu, Amer Hamzah berkata, pihak pembelaan menganggap permohonan pendakwaan supaya Abdul Azeez menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat tambahan jaminan adalah tidak wajar dan keterlaluan.
Katanya, tiada keperluan untuk syarat berkenaan dikenakan terhadap anak guamnya berdasarkan fakta serta latar belakang kes yang dihadapi.
“Kami juga agak hairan kenapa ada syarat tambahan untuk pasport diserahkan sedangkan dalam kes Datuk Seri Ismail Sabri, tiada rayuan dibuat oleh pihak pendakwaan apabila mahkamah tidak memerintahkan sedemikian.
“Jadi, untuk kes ini, beliau bukannya bekas menteri, hanya rakyat biasa. Saya fikir syarat tambahan tersebut agak keterlaluan berdasarkan fakta dan latar belakang beliau serta kes,” ujarnya.
Beliau berharap syarat berkenaan dibuat atas pertimbangan pihak pendakwaan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez, 60, selaku Pegawai Badan Awam iaitu Pengerusi Lembaga TH, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.
Ia membabitkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi RM690,000 setahun serta kemudahan sebuah kereta BMW 7 Series termasuk seorang pemandu tetap.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan mengarahkan Tan Sri Ismee Ismail, ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, mencadangkan Abdul Azeez sebagai wakil TH dalam Putrajaya Perdana.
Beliau juga didakwa meyakinkan ahli-ahli Lembaga TH dalam mesyuarat lembaga supaya meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta, bersamaan sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan TH, Jalan Tun Razak, di sini pada 25 Ogos 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, Law Chin How dan Atirah Mohd Azuarizanuddin. – MalaysiaGazette
















