Tengku Ahmad Badli Shah menyerahkan replika cek berjumlah RM120,000 kepada Azizul Rusmadi Abd Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah sambil disaksikan oleh wakil Hayat Teras Maju dan para peserta program Hijrah Asnaf Ruminan Agrobank di Kuala Nerang.-Foto Agrobank.

KUALA LUMPUR – Lapan anak muda di Kuala Nerang, Kedah menerima bantuan zakat berjumlah RM120,000 daripada Agrobank dengan kerjasama Lembaga Zakat Kedah (LZK) dan Hayat Teras Maju melalui Program Hijrah Asnaf Ruminan.

Program itu bertujuan untuk memberi latihan kemahiran berkaitan penjagaan haiwan dan asas perniagaan selama enam hingga setahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Husin, ini merupakan program pembangunan asnaf yang pertama melibatkan industri ruminan untuk meramaikan penglibatan usahawan terlatih.

Menurut satu kenyataan, LZK berperanan mengenal pasti dan menyediakan senarai peserta asnaf yang berpotensi manakala Hayat Teras Maju pula memberikan latihan dan pengalaman dalam menguruskan perusahaan ternakan sekaligus membuka peluang keusahawanan kepada golongan asnaf.

Menerusi dana zakat ini, setiap peserta diberi bantuan dua ekor lembu untuk fasa pertama selama tiga bulan.

“Hasil jualan dua ekor lembu ini digunakan untuk membeli 10 ekor kambing termasuk dua ekor baka untuk diuruskan bagi fasa seterusnya.

“Namun begitu, hak zakat pada asasnya akan terhenti apabila asnaf telah melebihi had kifayah yang telah ditentukan oleh jawatankuasa zakat,” kata Tengku Ahmad Badli.

Pesrta program  turut ditawarkan kemudahan pembiayaan mikro daripada Agrobank sekiranya mereka berhajat untuk memajukan perniagaan mereka ke peringkat yang seterusnya.

Salah seorang peserta program Hijrah Asnaf Ruminan Agrobank, Zaaidulfaiz Sobri, 26, berkata, beliau sememangnya bercita-cita dari kecil lagi untuk terlibat dalam perusahaan ternakan kerana ayahnya turut menternak lembu dan kambing.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana sepanjang beberapa bulan ini banyak yang saya pelajari berkaitan ternakan lembu dan kambing dan saya berjanji untuk terus berusaha dengan lebih keras lagi untuk menjayakan program ini,” katanya.

Terdahulu, Agrobank telah bekerjasama dengan beberapa pihak yang berkaitan seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), Universiti Malaysia Terengganu serta beberapa anchor company seperti APT Sdn Bhd untuk Bomb Burger dan Ekza Food Resources untuk program Jom Sate.- MalaysiaGazette