Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2020. senior judge sexual harassment naked
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan empat lelaki tempatan memeras ugut seorang pemilik restoran makanan Thailand dengan meminta bayaran wang perlindungan akhirnya membawa padah.

Tindakan mereka berjaya dihidu polis sebelum bergegas ke lokasi kejadian di Taman Melawati dekat sini dan mencekup keempat-empat suspek tersebut semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima aduan dan maklumat berkaitan kejadian kes pemerasan di sebuah restoran membabitkan empat lelaki yang meminta wang perlindungan.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Ampang Jaya telah berjaya menahan keempat-empat lelaki warga tempatan berusia 27 hingga 44 tahun itu di restoran berkaitan.

“Hasil tangkapan membawa pihak polis kepada rampasan barang kes dari suspek-suspek iaitu tiga buah telefon bimbit, sebuah motokar bersama kunci dan satu sampul yang mengandungi wang tunai yang disyaki dalam kes yang disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, siasatan awal mendapati suspek telah meminta wang perlindungan sebanyak RM150 setiap bulan.

Siasatan awal mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek telah dilakukan dan keputusannya dapati negatif.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau denga denda, atau sebat atau dengan mana-mana daripada seksaan-seksaan itu jika disabitkan kesalahan mereka.

Kesemua suspek dihadapkan ke mahkamah Ampang dan dibenarkan direman enam hari sehingga 17 Februari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.- MalaysiaGazette