Kira-kira 20 kanak-kanak menunjukkan kad kehadiran solat Subuh secara berjemaah di masjid.

MELAKA – Sebuah masjid di Pengkalan Batu, di sini sanggup menghadiahkan 40 buah basikal berharga RM20,000 kepada kanak-kanak dan remaja yang berjaya menghadiri solat Subuh berjemaah selama 40 hari di masjid berkenaan.

Pengerusi Masjid Nur As- Sa’aadah, Kampung Pengkalan Batu, Datuk Amzah Osman berkata, idea berkenaan timbul secara spontan selepas beliau dilantik ke jawatan itu 1 Februari lalu bertujuan mengimarahkan masjid setiap hari khususnya pada waktu subuh.

Menurutnya, pada awalnya, beliau hanya membeli dua buah basikal berharga RM400 setiap satu yang digantung di dinding luar sebelum ke ruang solat masjid sebagai pembakar semangat kepada kanak-kanak dan remaja berusia bawah 20 tahun untuk memilikinya.

“Syaratnya, mereka perlu istiqamah hadir solat Subuh berjemaah setiap hari selama 40 hari menerusi program Subuh Istiqamah 40 Hari bermula 9 Februari sehingga 20 Mac ini.

“Alhamdulillah, saya pun tak sangka sambutan diterima amat menggalakkan apabila setakat ini kita sudah edarkan hampir 100 kad, yang mana jemaah kanak-kanak dan remaja ini perlu dapatkan cop daripada noja masjid selepas selesai solat subuh setiap hari.

“Sekarang ini, hampir 30 jemaah kanak-kanak memenuhi masjid sehingga dapat penuh lima atau enam saf berbanding sebelum ini jemaah sekitar dua saf.

“Malah saya bersyukur apabila program ini diuar-uarkan, semakin ramai pihak tampil untuk menyumbang basikal sehingga 40 buah,” katanya ketika ditemui selepas Solat Subuh di masjid berkenaan di sini hari ini.

Basikal berharga RM400 yang ditawarkan kepada anak-anak yang solat berjemaah di Masjid Nur As- Sa’aadah, Kampung Pengkalan Batu, Melaka.

Mengulas lanjut, Amzah berkata, program terbabit tidak melibatkan penggunaan wang tabung masjid, sebaliknya diperolehi daripada rakan, ahli keluarga dan orang ramai.

“Alhamdulillah, sumbangan diterima sangat luar biasa malah ada juga rakan-rakan yang sanggup menghadiahkan dua buah motosikal untuk diberikan pula kepada jemaah dewasa pada program akan datang.

“InsyaAllah, mungkin program hadiah motosikal kita akan buat minggu depan dalam usaha mengimarahkan solat lima waktu sama seperti Solat Jumaat,” katanya.

Sementara itu, bagi kanak-kanak, Muhd Aiman Sharul Azwan, 10, berkata dia sanggup bangun seawal 5 pagi semata-mata untuk solat Subuh berjemaah bagi mendapatkan basikal berkenaan untuk dihadiahkan kepada rakan sekolahnya.

“Kawan menetap di Bertam Ulu yang jauh nak datang solat di sini dan dia pula tiada basikal.

“Sebab itu saya sanggup bangun pukul 5 pagi dan bersiap-siap pakai baju sekolah untuk solat jemaah sebelum terus ke sekolah,” kata murid Sekolah Kebangsaan Batu Berendam 2 itu.

Bagi Muhamad Darwisy Daniel Mohd Shari, 14, selain mahukan basikal, dia turut gembira apabila dapat bertemu rakan-rakan di masjid yang lazimnya hanya ditemui pada waktu solat Jumaat.

“Seronok sebab selain dapat pahala solat berjemaah, boleh dapat basikal untuk kegunaan riadah bersama kawan-kawan,” katanya.

Sementara itu, Imam 1 Masjid Nur As- Sa’aadah, Johari Mohamed Salih berkata, program terbabit berjaya menggalakkan kanak-kanak mendekati masjid walaupun ianya mungkin dilihat berunsur paksaan disebabkan hadiah basikal.

“Tapi saya percaya dan yakin, terpaksa itu cuma pada peringkat awal dan selepas ini mereka sendiri gembira dapat berjemaah di masjid tanpa mengharapkan hadiah.

“Saya sendiri merasai perubahan sikap apabila ada kanak-kanak yang berjemaah subuh, mula mengenali saya apabila terserempak di padang bola. Jadi itu satu petanda baik ke arah istiqamah mereka selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette