Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global, S Shashi Kumar bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri terhadap penghinaan pensyarah agama kepada bukan Islam ketika di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa mengambil tindakan segera terhadap beberapa pendakwah bebas yang didakwa menghina dan merendahkan kepercayaan bukan orang bukan Islam hingga boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S. Shashi Kumar mendakwa, pendakwah Islam terbabit berterusan menyerang kepercayaan bukan Islam secara terbuka di media sosial dengan niat menghina, menipu, memperlekeh, mengganggu, memanipulasi, salah tafsir dan silap petik ajaran agama mereka.

“Ustaz Syakir Nasoha ada cakap cuci kuil itu tempat syaitan, pemuja dan pengikut syaitan, malah ada pendakwah lain cakap kuil itu tempat pelacur.

“Ini semua salah, ada mereka fikir perasaan orang lain (bukan Islam) apatah lagi ketika pandemik Covid-19.

“Kalau Perdana Menteri nak guna slogan Keluarga Malaysia, tak cukup cakap di mulut sahaja.

“Kita nak dia (Perdana Menteri) ambil tindakan, kita nak Perdana Menteri, Menteri Perpaduan dan Suhakam mengeluarkan kenyataan,” katanya pada sidang media di luar bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Terdahulu Shashi bersama 63 wakil NGO, termasuk dari Sabah dan Sarawak, menyerahkan memorandum kepada pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra.

Pada Oktober tahun lalu, lebih 3,000 individu seluruh negara, termasuk bekas Ahli Parlimen UMNO, Tawfik Ismail membuat laporan polis terhadap Syakir atas dakwaan menghina agama bukan Islam, dalam satu ceramah yang tular sebelum ini.

Tawfik mendakwa penceramah itu menghina dan memburukkan agama Buddha, Hindu, masyarakat Dayak serta kepercayaan bukan Islam yang lain.

Dalam pada itu, Shashi menegaskan, jika pendakwah bebas itu tidak menyukai agama dan kepercayaan lain bukan satu masalah bagi mereka namun tidak perlu menghina bukan Islam.

“Kalau dia tak suka Kristian…tak apa, tak suka Hindu…tak apa, tak suka Buddha…tak apa, tapi tak perlu keluar dan hina mereka.

“Malah mereka juga tiada hak untuk bercakap perbezaan agama, tiada siapa beri kebenaran atau pihak berkuasa untuk melakukan perbuatan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast