KUALA LUMPUR – Sehingga kini negara hanya mempunyai 128 pakar onkologi, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 36 orang pakar bertugas di Kementerian Kesihatan (KKM), 14 lagi di hospital universiti manakala 78 orang di hospital swasta.
“Tujuh orang sedang menunggu untuk diwartakan sebagai pakar,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Kanser Sedunia 2022 di Institut Kanser Negara (IKN) hari ini.
Selain itu katanya, sebanyak enam pusat rawatan kanser di seluruh negara di bawah KKM dan paling banyak adalah pusat rawatan hospital swasta iaitu 27 manakala hospital universiti ada empat.
“Hospital berkenaan adalah Hospital Kuala Lumpur, Institut Kanser Negara, Hospital Sultan Ismail di Johor, Hospital Pulau Pinang, Hospital Likas di Sabah dan Hospital Umum Sarawak,” katanya lagi.
Tambah Khairy, sehingga kini KKM masih belum mempunyai pusat rawatan kanser di utara dan Pantai Timur.
Justeru, pesakit dari Pantai Timur perlu ke Kuala Lumpur atau ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi mendapatkan rawatan.
“Sementara bagi pesakit-pesakit dari utara, Hospital Pulau Pinang hanya mempunyai tenaga kepakaran tetapi tidak mempunyai perkhidmatan radioterapi, justeru perlu menyumber keluarkan rawatan radioterapi ke hospital swasta,” tambah Khairy.
Menteri Kesihatan berkenaan sedar program PEKA B40 yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah tidak memadai dan memerlukan satu reformasi sistem termasuklah pembiayaan kesihatan.
Justeru beliau berharap agar Kertas Putih KKM yang telah dicadangkannya sebelum ini mendapat sokongan semua pihak di Parlimen agar tindakan reformasi sistem kesihatan negara boleh dilaksanakan.
Sebagai rekod pada Januari yang lalu, Khairy memaklumkan telah mencadangkan penyediaan satu kertas putih KKM bagi membolehkan reformasi sistem kesihatan negara dapat dibuat terutama dalam memastikan ia kalis masa depan.
Katanya, perkara itu telah disuarakan kepada Bahagian Perancangan KKM untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan sokongan bipartisan sama ada wakil rakyat daripada kerajaan atau pun pembangkang.-MalaysiaGazette