Ali Puteh mahkamah
Pelawak dan pelakon, Ali Puteh berjalan keluar dari mahkamah selepas mengikuti keputusan kes saman terhadap kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd Ali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan pelawak dan pelakon, Ali Puteh membayar RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali berhubung kenyataan mengaibkan di laman Instagram, dua tahun lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Siti Nor Hidayah, 30, selaku plaintif terhadap Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 34, sebagai defendan.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, hakim Zulqarnain berkata, hantaran yang dibuat oleh Ali Puteh menjatuhkan maruah dan amat mengaibkan isteri kepada Allahyarham Abam Bocey itu.

“la adalah kata-kata yang amat keras dan melampau seolah-olah isteri arwah (plaintif) adalah spesies asing yang kerjanya merompak harta orang tanpa ada hati dan perasaan.

“Jika kata-kata seperti ‘kamu bodoh’ atau ‘kamu jahat’ boleh mengaibkan, apatah lagi perkataan binatang. 

“Jika ditujukan sekali pun kepada pesakit yang uzur dan terlantar di hospital, dia akan cuba bangun dan mempertahankan maruahnya. Apatah lagi jika ditujukan kepada seorang wanita yang baru beberapa hari sahaja hilang tempat bergantung, kehilangan suami dan masih bersedih dengan kematian pasangan hidup dan risau bagaimana ingin membesarkan anak kecil yang berusia lebih kurang setahun,” kata beliau.

Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah telah memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagramnya yang antara lain menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.

Wanita terbabit memohon ganti rugi am, teladan atau punitif dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Dia juga memohon satu perintah injunksi bagi menghalang adik iparnya menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya, kod dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel berkaitan:

Sementara itu, dalam prosiding sama, mahkamah menolak saman fitnah yang dikemukakan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya yang lain terhadap Siti Nor Hidayah dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dengan kos sebanyak RM13,000.

Dalam saman itu, Ali Puteh bersama, bapanya, Syed Mohd. Ridzuan Syed Hassan, 65; ibunya, Allahyarham Sabariah Arshad, 63; dan kakak sulungnya, Sharifah Norwahidah Syed Mohd. Ridzuan, 42, pada Julai 2020 memfailkan saman fitnah terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung di akaun Youtube milik usahawan kosmetik itu.

Temu bual itu didakwa telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnah Ali Puteh sekeluarga selaku plaintif.

Sehubungan itu, Ahli Puteh dan keluarganya memohon satu perintah menghalang Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah daripada mengeluarkan sebarang pernyataan fitnah.

Mereka juga memohon agar kedua-dua individu itu membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik dan memadamkan video temu bual yang berbaur fitnah tersebut di kesemua media sosial milik Aliff Syukri.

Dalam prosiding hari ini, Ali Puteh diwakili peguam, Noorazmir Zakaria manakala Siti Nor Hidayah diwakili peguam, Mohamed Ibrahim Mohamad.

Kemelut antara kedua-dua individu itu tercetus selepas kematian Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan pada 10 Februari 2020 akibat demam panas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast