Covid-19 death ICU Malaysia
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Angka kes kematian yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam sebanyak 39 kes iaitu jumlah tertinggi sepanjang tempoh 48 hari pertama tahun ini.

Menurut info CovidNow, dengan angka itu, jumlah kumulatif kematian akibat virus Covid-19 sejak melanda negara ini awal 2020 meningkat kepada 32,239 kes.

Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan kes baharu yang dilaporkan semalam juga sebanyak 26,701 kes dengan jumlah kumulatif 3,138,215 kes.

Daripada jumlah itu, seramai 7,119 pesakit positif telah dimasukkan ke hospital iaitu peningkatan sebanyak 117 peratus berbanding minggu lalu.

Ini menyaksikan bilangan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital ketika ini lebih tinggi berbanding kemuncak gelombang wabak berkenaan pada Januari tahun lalu.

Turut dilaporkan, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 ialah 1.32 dengan setiap negeri menyaksikan Rt lebih daripada 1.00. – MalaysiaGazette