KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat minggu depan meskipun jangkaan aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan baru-baru ini, kata seorang peniaga.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, petunjuk pasaran itu dijangka diniagakan dalam jajaran 1,595 hingga 1,610 pada minggu depan dengan paras ketahanan segera pada 1,620 dan paras sokongan pada 1,590.
Beliau berkata, sentimen pasaran tempatan dijangka kekal kukuh susulan sokongan sentimen pelabur yang positif selain memantau rapat ketegangan geopolitik antara Rusia dan Ukraine yang meningkat semula.
“Dengan sokongan berterusan daripada dana asing, kami merasakan FBM KLCI akan kekal positif dengan aliran meningkat pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya tinggi susulan sentimen yang bertambah baik dan peningkatan minat belian meskipun prestasi di pasaran serantau dan Wall Street yang tidak menentu.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 24.16 mata untuk ditutup minggu ini kepada 1,603.05 daripada 1,578.89 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 131.09 mata kepada 11,451.51, Indeks FBMT100 menambah 90.11 mata kepada 11,090.84 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 170.32 mata kepada 12,210.71.
Sementara itu, FBM 70 turun 36.55 mata kepada 13,744.74, dan FBM ACE susut 50.19 mata kepada 6,294.76.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 104.03 mata kepada 16,400.68, Indeks Perladangan menambah 905.81 mata kepada 8,120.23, manakala Indeks Tenaga susut 23.61 mata kepada 765.18.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.69 mata kepada 211.63, Indeks Teknologi naik 3.15 mata kepada 80.73 dan Indeks Penjagaan Kesihatan susut 18.91 mata kepada 2,167.81.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 17.91 bilion unit bernilai RM14.66 bilion daripada 15.28 bilion unit bernilai RM12.03 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 11.83 bilion saham bernilai RM13.14 bilion berbanding 9.47 bilion saham bernilai RM10.72 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.84 bilion unit bernilai RM227.65 juta daripada 1.74 bilion unit bernilai RM200.92 juta.
Jumlah dagangan Pasaan ACE menokok kepada 4.23 bilion saham bernilai RM1.29 bilion berbanding 4.05 bilion saham bernilai RM1.11 bilion. – MalaysiaGazette